Khamis, 1 September 2016

KADAZANDUSUNDAN LAGENDA HUMINODUN

KADAZANDUSUN DAN LAGENDA HUMINODUN

Pencerita: Pada suatu ketika dahulu, terdapat sebuah perkampungan yang aman dan damai. Kampung tersebut didiami oleh masyarakat Kadazan Dusun. Kehidupan masyarakat di kampung tersebut amat bergantung kepada hasil pertanian dan hasil hutan.

Babak 1
Tempat: sawah/huma
Waktu: Petang

(Beberapa orang penduduk kampung sedang menjalankan aktiviti pertanian. Terdapat penduduk yang mengetam padi, ada yang sedang menumbuk padi dan ada juga yang sedang menampi padi)

Penduduk I: Alangkah nyamannya angin petang ini.

Penduduk II: Ya. Angin yang bertiup ini menyebarkan haruman padi baru kita ini.

Penduduk III: Kita harus berterima kasih kepada cuaca  dan tanah ini. Tanpa cuaca yang baik dan tanah yang subur tentu kita tidak akan mendapatkan hasil pertanian seperti ini.

Penduduk I:Katamu benar, sahabat. Hidup kita tentu amat susah sekiranya hasil pertanian kita berkurang.

Babak 2
Tempat: Sawah/huma
Waktu: Siang

Pencerita: keamanan dan kedamaian kampung tersebut tidak berkekalan. Pada suatu hari, kemarau panjang telah melanda kampung tersebut. Kemarau tersebut telah menyebabkan tanaman penduduk mati dan air sungai menjadi kering. Haiwan ternakan mereka juga mati kerana cuaca yang sangat panas. Penduduk kampung juga dijangkiti penyakit akibat kekurangan makanan berkhasiat.

(penduduk sedang berkumpul untuk membincangkan kejadian kemarau yang melanda kampung mereka. Suasana pada ketika itu agak riuh dengan keluhan penduduk kampung)

Penduduk I: Mengapa semua ini berlaku? Apakah kesalahan yang kita perbuat sehingga kampung kita dilanda kemarau?

Penduduk II: kemarau ini menyebabkan kita sengsara. Ayam dan lembu pun hampir semuanya mati.

Penduduk III: bekalan makanan hasil pertanian lalu juga hampir habis. Air sungai juga sudah kontang. Bagaimana kita hendak meneruskan kehidupan tanpa bekalan makanan dan bekalan air yang mencukupi?

Penduduk II: apakah yang perlu kita lakukan? Apakah terdapat cara untuk kita keluar daripada kesengsaraan ini?

Penduduk III: marilah kita bertanya kepada Kinoingan. Tentu dia mempunyai jalan keluar kepada permasalahan ini.

Penduduk I: saya bersetuju! Ayuh kita pergi berjumpa dengan Kinoingan.
Semua Penduduk: Ayuh!

(semua penduduk kampung tersebut beredar menuju ke rumah Kinoingan)

Babak 3

(Kinoingan, Suminundu dan Huminodun berdiri di tengah pentas)

Pencerita: menurut kepercayaan masyarakat di kampung tersebut, Kinoingan merupakan Tuhan mereka. Kinoingan mempunyai seorang anak gadis hasil perkongsian hidupnya dengan isterinya, Suminundu.

(Kinoingan dan Suminundu meninggalkan pentas dan beberapa orang penduduk kampung masuk mengambil posisi masing-masing)

Pencerita: Anak gadis Kinoingan bernama Huminodun. Huminodun merupakan seorang gadis yang sungguh jelita dan lemah-lembut. Semua penduduk terutamanya pemuda kampung tersebut terpesona dengan kecantikan Huminodun. Penduduk kampung bukan sahaja terpesona dengan kecantikannya namun juga tertarik dengan sifat penyayang dan berbelas kasihan yang dimiliki Huminodun.

(Para pelakon melakukan aksi sesuai dengan pernyataan yang dinyatakan oleh pencerita. Selepas beberapa ketika Kinoingan dan Suminundu masuk semula ke pentas. Penduduk kampung pula meninggalkan Kinoingan sekeluarga di pentas tersebut. Seketika kemudian sekumpulan penduduk yang diketuai Penduduk I, Penduduk II dan Penduduk III muncul menuju ke rumah Kinoingan)

Penduduk I: Kinoingan oh Kinoingan!

Kinoingan: Ambalut, kamu rupanya! Apa yang menyebabkan kamu kemari?

Penduduk I: Begini Kinoingan, kami mahu mengadu tentang kemarau yang melanda kampung ini. kemarau ini telah membuatkan semua penduduk kampung sengsara.

Penduduk III: Betul katanya, Kinoingan. Kami semua sudah kekurangan sumber makanan dan sumber air. Haiwan ternakan juga banyak yang mati.

Penduduk II: bukan itu sahaja, kekurangan makanan disebabkan kemarau ini juga menyebabkan penyakit berjangkit semakin merebak.

Penduduk III: tolonglah kami Kinoingan. Kamu tentu mempunyai cara untuk menyelesaikan masalah ini.

Penduduk I: hanya kamu tempat kami berharap sekarang ini.

Penduduk II: (Berpaling kepada penduduk kampung yang lain) Kinoingan adalah harapan terakhir kita!

Semua Penduduk: Ya!!

Kinoingan: (berfikir sejenak) kamu semua baliklah dahulu. Nanti saya akan memikirkan penyelesaiannya.

(penduduk kampung pun beredar dari rumah Kinoingan)

Babak 4
Tempat: Rumah Kinoingan
Waktu: malam

(kinoingan sedang duduk di sebuah kerusi sambil memikirkan masalah kemarau yang sedang melanda kampung. Huminodun dan ibunya pula sedang duduk bersimpuh melipat kain)

Suara Ghaib: Kinoingan… Kinoingan….

(kinoingan sekeluarga terkejut mendengar suara ghaib tersebut)

Kinoingan: (melihat sekeliling mencari pemilik suara ghaib tersebut) Siapakah kamu?

Suara Ghaib: Kinoingan, jika kamu mahu bencana kemarau di kampung ini ditamatkan, kamu mesti mengorbankan anakmu Huminodun. Hanya dia yang mampu mengembalikan keamanan dan keharmonian di kampung ini.

(Kinoingan dan keluarganya kelihatan terkejut mendengar apa yang diperkatakan suara ghaib tersebut. Kinoingan bertanya lagi siapakah gerangan pemilik suara tersebut namun tiada lagi suara yang kedengaran)

Huminodun: Ama, jika betul apa yang suara ghaib itu katakan, saya rela dikorbankan agar kesengsaraan penduduk kampung berakhir.

Suminundu: (sedikit berteriak) Tidak! Kamu satu-satunya anak kami Huminodun! Kami tidak akan mengorbankan kamu.

Huminodun: Ina, saya sanggup dikorbankan demi kehidupan orang kampung kita. Saya tidak sanggup lagi melihat kesengsaraan mereka.

Suminundu: Tidak, Huminodun. Ina tidak sanggup. (berpaling kepada Kinoingan) Abang katalah sesuatu. Kita tidak akan mengorbankan anak kita satu-satunya bukan?
(Kinoingan hanya terpaku, seperti memikirkan sesuatu)

Huminodun: Ama, saya rela menjadi korban asalkan penduduk kampung tidak lagi sengsara.

Kinoingan: Adakah kamu tidak akan menyesal Humindodun?

Huminodun: Tidak, Ama! Saya tidak akan menyesal dengan keputusan ini.

Suminundu: Tidak Huminodun! Ina tidak sanggup kehilangan kamu.

Huminodun: ina, huminodun tidak akan berganjak dari keputusan ini.

(pentas digelapkan)

Babak 5
Tempat: sawah/huma
Waktu: siang

Pencerita: keesokan harinya Huminodun menyatakan keputusannya kepada penduduk kampung. Penduduk kampung amat sedih dengan situasi tersebut namun tidak mampu berbuat apa-apa. Huminodun telah meminta semua penduduk kampung berkumpul di sawah bagi menjalankan upacara korban tersebut. Sifat penyayang dan belas kasihnya yang tinggi menyebabkan Huminodun tidak gentar sedikitpun menjalani upacara itu.

(Kinoingan, Suminundu dan penduduk kampung sedang berdiri menanti ketibaan Huminodun yang diiringi beberapa gadis lain)

Suminundu: (berlari kearah Huminodun) Nak, jangan lakukan ini. Ina tidak sanggup kehilanganmu.

Huminodun: (tersenyum) Janganlah risau, Ina. Walaupun jasad Huminodun tiada lagi, kasih sayang Huminodun akan sentiasa berada disini menemani Ina.

(Suminundu menangis teresak-esak tidak sanggup melihat anaknya dikorbankan. Beberapa orang penduduk berusaha menenangkan Suminundu.)
Huminodun: Ama, marilah mulakan upacara ini.

(Huminodun berbaring diatas tanah lalu meutup matanya. Kinoingan menuju kearah anaknya itu dengan berat hati. Seperti lagak seorang Bobolian, Kinoingan menjalankan upacara tersebut dengan bibir terkumat-kamit membaca mantera dan jampi. Beberapa penduduk lain membunyikan bunyi-bunyian sesuai dengan upacara tersebut. Suminundu makin kuat menangis)

Huminodun: Semoga pengorbanan ini memberikan sinar kehidupan bagi semua.
(Kinoingan kemudiannya mengambil sebilah pisau kemudian menusuk tepat ke jantung Huminodun. Darah merah pekat mengalir perlahan-lahan dari luka tusukan pisau tersebut)

Suminundu: (menangis kuat menerpa ke arah jenazah Huminodun) Tanakku!
(seketika kemudian angin kencang bertiup diselangi hujan yang renyai-renyai. Keadaan itu menandakan pengorbanan Huminodun berbaloi. Penduduk kampung bersorak kegembiraan)


Pencerita: Bermula daripada kejadian tersebut orang-orang Kadazan Dusun memulakan upacara Pesta Kaamatan, juga dikenali sebagai KOKOTUAN (Pesta Menuai) seperti yang dirayakan sejak awal sehingga kini. Perayaan seumpama ini mengharapkan agar rezeki yang akan datang bertambah baik dan lumayan. Upacara penghormatan dilakukan terhadap semangat padi yakni padi-padi yang selesai dituai dan telah selamat dimasukkan ke dalam ketawai (Tangkob) iaitu bekas tempat menyimpan padi. Selain itu, perayaan Pesta Kaamatan ini juga mengingatkan kaum tersebut mengenai asal-usul serta pencipta mereka, Kinorohingan, yang sanggup mengorbankan anak kesayangannya, Humindoun untuk menyalamatkan mereka daripada mati kebuluran.
Masyarakat Kadazan Dusun juga mempercayai jelmaan semangat Huminodun telah hidup kembali sebagai Unduk Ngadau dari dalam Kaakanan, selepas tujuh hari dia dikorbankan. Semenjak itu perkataan Unduk Ngadau digunakan bagi melambangkan kecantikan dan kebaikan budi bahasa Huminodun. Pertandingan ratu cantik Unduk Ngadau akan diadakan pada perayaan Tadau Kaamatan.

5 ulasan:

  1. Selamat pagi sdr jeff...tahniah skrip lagenda huminodun ini, salam kenal dari saya Jasni Yakub @ JY, penulis dan pelakon teater Sabah. Saya cadang adaptasikan skrip ini ke pentas teater, sdr akan terlibat sebagai pelakon. Mudahan kita dapat bejumpa selepas PKP, hp saya 010-9305214....tkasih. Jy

    BalasPadam
  2. Perkampungan sebenar Huminodun itu di mana lokasi sebenar admin?tq

    BalasPadam
  3. Terbaaeek...story,berkaitan huminodun ni,sejarah semangat padi,diraihkan bagi mengenangkan pengorbanannya bagi menyelamatkan nyawa org kg...patut la unduk ngadau semua cantik2 bagi merebut gelaran siapakah huminodun..

    BalasPadam